Bahrul Mazi - Lautan Madu
PENGENALAN PENGARANG
Beliau ialah Mohd Idris bin Abd Rauf al-Marbawi. Dilahirkan di Makkah al-Mukarramah pada 28 Zulkaedah 1313H bersamaan 1893 M. Pada tahun 1903, beliau dan keluarganya pulang ke tanah air bersama keluarganya.
Beliau seterusnya mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Lubuk Merbau, Perak. Seterusnya menyambung pelajaran ke Sekolah Pondok Syeikh Wan Muhammad di Bukit Chandan Kuala Kangsar Perak, Pondok Tuan Hussain al-Mas’udi Kedah, Pondok Syeikh Ahmad Fatani di Bukit Mertajam dan seterusnya Pondok Tok Kenali di Kelantan. Kesungguhannya menuntut ilmu terbukti apabila ketika masih berada di Mekah iaitu ketika usianya menjangkau 10 tahun, beliau telah menghafal 10 juzuk al-Quran di samping beberapa kitab lain.
Setelah memperolehi pelbagai ilmu pengetahuan di merata-rata tempat, Syeikh Mohd Idris al-Marbawi mula bertugas sebagai guru agama di negeri Perak. Namun begitu kecintaan yang sangat mendalam pada ilmu pengetahuan yang ada pada diri beliau telah membawanya ke Universiti al-Azhar untuk menyambung pengajian dan akhirnya pada 1924 beliau telah memperolehi ijazah ‘aliyah daripada universiti berkenaan.
Di antara karya-karya beliau yang digunakan sehingga ke hari ini ialah Kamus al-Marbawi yang diterbitkan pada tahun 1920-an. Selain dari, kitab Bahrul Mazi yang akan dibincangkan di dalam penulisan ini juga merupakan kitab rujukan masyarakat Melayu sehingga ke hari ini. Karya-karya beliau yang lain ialah Tafsir Quran Nurul Yaqin, Tafsir Surah Yasin, Nizam Hayah, Mu’jam al-Ka’inat (4 jilid) dan lain-lain.
Beliau juga pernah dianugrahkan ijazah kehormat Doktor Persuratan oleh UKM pada 5 Julai 1980. Ia disampaikan oleh Naib Canselor UKM ketika umur beliau 87 tahun. Seterusnya pada 1 Muharram 1408H bersamaan 1987M, beliau telah menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan yang pertama. Pada tahun yang sama beliau akhirnya meninggal dunia dengan meninggalkan jasa yang cukup besar kepada ummah ini.PENGENALAN KITAB BAHRUL MAZI
Kitab yang menjadi kajian penulis ialah kitab MUKHTASAR SAHIH AL-TURMUDZI WA SYARHUHU BI LUGHAH AL-JAWI AL-MALAYU AL-MUSAMMA BAHRUL MAZI atau di dalam bahasa Melayunya Ringkasan Sahih Tarmizi dan Huraiannya di Dalam Bahasa Melayu Jawi Yang Dinamakan Bahrul Mazi. Di dalam alam Melayu, ia hanya dikenali sebagai Bahrul Mazi. Uniknya, kitab yang berbahasa Melayu ini dicetak dan diterbitkan di Mesir, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum dan sesudahnya. Kitab ini adalah terjemahan dan ulasan lengkap sesudah diringkaskan daripada Sahih al-Tirmizi. Ia merupakan karya yang pertama sekali di dalam bahasa Melayu yang seumpama dengannya.
Kitab ini mengandungi 22 jilid (11 buah buku) dan kitab ini sudah diterbitkan. Ia mengandungi 8200 permasalahan agama yang berkaitan dengan hal ehwal dunia dan akhirat. Kesungguhan, minat dan kecintaan penulisnya untuk menyempurnakan kitab ini dapat dilihat daripada muqaddimah kitab yang telah beliau tulis sebelum memulakan penulisan, antaranya beliau menyatakan :
“Adalah daripasa sudah aku mengaji kitab yang bernama Sahih al-Turmudzi, sudahlah jatuh dalam hatiku berahi dan suka kepadanya oleh aturannya dan kenyataan pada segala hukum syariat Nabi kita Muhammad SAW..”
| Jilid | Jumlah Halaman | Tajuk | Bilangan Hadis | Bilangan masalah |
| 1 | 227 | Menerangkan bicara bersuci dan barang yang takluk dengannya. | 126 | 591 |
| 2 | 232 | Menerangkan bicara sembahyang dan barang yang takluk dengannya. | 138 | 454 |
| 3 | 240 | Menerangkan bicara sembahyang dan barang yang takluk dengannya. | 161 | 558 |
| 4 | 232 | Menerangkan bicara sembahyang, zakat dan barang yang takluk dengannya. | 115 | 519 |
| 5 | 208 | Menerangkan bicara puasa dan barang yang takluk dengannya. | 110 | 473 |
| 6 | 224 | Menerangkan bicara haji dan barang yang takluk dengannya. | 108 | 458 |
| 7 | 224 | Menerangkan bicara umrah dan jenayah dan barang yang takluk dengannya. | 114 | 483 |
| 8 | 224 | Menerangkan baki-baki bab jenayah dan membicarakan kitab Nikah | 99 | 330 |
| 9 | 224 | Menerangkan bab-bab talak, lia’an dan jual beli. | 117 | 226 |
| 10 | 228 | Menerangkan baki-baki bab jualan, bab qadhi, diat dan barang yang takluk dengannya. | 180 | 259 |
| 11 | 224 | Menerangkan bicara korban, nazar-nazar, sumpah-sumpah, perjalanan nabi dan barang yang takluk dengannya. | 151 | 486 |
| 12 | 232 | Menerangkan bicara perang sabil, pakaian, makanan dan barang yang takluk dengannya. | 170 | 353 |
| 13 | 224 | Menerangkan minm-minum, kebaktian, perhubungan rahim dan barang yang takluk dengannya. | 152 | 472 |
| 14 | 224 | Melengkapi atas bab-bab perhubungan rahim, perubatan, faraid, wala’, hibab, qadar dan barang yang takluk dengannya. | 138 | 395 |
| 15 | 248 | Melengkapi bab huru-hara, ta’bir mimpi dan saksi-saksi. | 105 | 301 |
| 16 | | Melengkapi atas bab-bab mimpi, saksi-saksi dan zuhud. | 128 | 237 |
| 17 | 232 | Melengkapi atas bab-bab sifat syurga, neraka, iman dan barang yang takluk dengannya. | 109 | 210 |
| 20 | | Melengkali atas saki-baki bab-bab adab, misal-misal, bab-bab pahala al-Quran dan barang yang takluk dengannya. | 127 | 311 |
| 21 | 255 | Melengkapi atas segala bab tafsir | 92 | 335 |
| 22 | 242 | Melengkapi atas tafsri setengah-setengah ayat di dalam surah al-Maidah dan lainnya. | 95 | 351 |
No comments:
Post a Comment